AirAsia akan memulakan penerbangan terus tiga kali seminggu laluan Kuala Lumpur-Maldives bermula 22 Oktober 2015.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata tempat duduk kini boleh ditempah menerusi dalam talian di airasia.com dengan tambang terangkum bermula daripada serendah RM169 sehala.

"Promosi itu berterusan sehingga 26 Julai, 2015, bagi tempoh perjalanan 22 Oktober 2015 sehingga 31 Ogos 2016," kata syarikat penerbangan itu.

Ketua Komersil AirAsia Bhd, Spencer Lee berkata jadual penerbangan bagi laluan ini akan membolehkan penumpang dari semua rantau lain seperti Korea Selatan, Jepun, China, Hong Kong, Thailand, Australia untuk menyambung penerbangan dengan mudah menggunakan perkhidmatan Fly-Thru AirAsia.

"AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang terus ke Maldives dari sini, menawarkan penerbangan tiga kali seminggu ke destinasi pulau tersebut.

"Antara destinasi yang menawarkan sambungan penerbangan Fly-Thru ke Maldives termasuklah Incheon, Osaka, Hong Kong, Shenzhen, Bangkok, Pulau Pinang dan Gold Coast," katanya.