AirAsia, telah menghentikan penerbangan hariannya dari Kuala Lumpur ke Colombo dan sebaliknya, berkuat kuasa 26 Feb atas sebab-sebab komersial.

Penumpang-penumpang yang terjejas oleh tindakan ini akan ditawarkan pilihan untuk mengelak sebarang kesulitan yang mungkin timbul disebabkan oleh pemberhentian penerbangan ini, kata syarikat penerbangan kos rendah itu.

"Setiap penumpang yang terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

"AirAsia meminta penumpang mengemas kini alamat dan nombor telefon mudah alih bersama dengan awalan kod negara masing-masing dalam profil ahli AirAsia untuk memastikan syarikat itu boleh menghubungi mereka untuk membantu mereka," kata syarikat penerbangan ekonomi itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata penumpang-penumpang yang terlibat mempunyai pilihan untuk menukar penerbangan mereka ke tarikh yang lebih awal ke atau dari Kuala Lumpur atau Colombo tanpa caj tambahan dan tertakluk kepada ada atau tidaknya tempat duduk, atau mereka akan ditawarkan simpanan kredit bagi nilai yang telah mereka bayar dengan tempoh sah selama tiga bulan, atau pengembalian wang sepenuhnya.

Penumpang juga boleh menghubungi Pasukan Khidmat Pelanggan AirAsia melalui twitter.com/AskAirAsia bagi maklumat lanjut mengenai penamatan laluan itu.