KUALA LUMPUR:Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu terbuka untuk mengkaji semua pilihan membabitkan operasinya di Jepun, termasuk menutup operasi.

"Kami perlu melihat semua pilihan termasuk menutup operasi. Kami belum memuktamadkan lagi pilihan," katanya ketika ditanya mengenai laporan terkini bahawa kumpulan itu tidak berhasrat meneruskan operasi syarikat sekutunya, AirAsia Japan berikutan permintaan yang terus merosot akibat pandemik COVID-19.

Fernandes berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Redbeat Academy di sini hari ini.

Mengenai penamatan operasi penerbangan AirAsia dari Malaysia ke Jepun, beliau berkata ia hanya spekulasi dan lembaga pengarah belum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata pada masa ini, syarikat penerbangan itu tidak meneruskan penerbangan ke Jepun akibat penutupan sempadan antarabangsa dan berikutan kehadiran operasinya yang agak kecil di Jepun, lembaga pengarah sedang meneliti semua kemungkinan termasuk menamatkan penerbangannya ke negara itu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Fernandes berkata akademi itu pada awalnya ditubuhkan dengan keyakinan bahawa pendigitalan operasi syarikat penerbangan itu mungkin menyebabkan ramai kakitangannya tidak lagi diperlukan.

"Justeru, kami mempunyai Redbeat Academy. Namun, pada masa ini sudah tentu kita berada dalam kedudukan dimana syarikat penerbangan perlu mengurangkan tenaga kerja dan ia tidak dapat dielakkan. Kebanyakan mereka, diharap akan hadir ke sini (Redbeat) dan menjalani latihan semula," katanya.

-- BERNAMA