Skip to main content

Malaysia

Perkasa TVET pertanian, isu pembangunan bakat dicadang dibawa kepada Jemaah Menteri - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 4 Jun -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui media pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi Bulan Jun 2026 di kementeriannya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 2/2026 hari ini menumpukan kepada pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian sebagai antara agenda strategik bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negara.

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 2/2026 hari ini menumpukan kepada pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian sebagai antara agenda strategik bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negara.

Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu turut meneliti pelbagai agenda strategik ke arah memperkukuh ekosistem TVET negara, khususnya dalam sektor yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

"Mesyuarat turut memberikan perhatian kepada isu pembangunan bakat dalam sektor agromakanan susulan cabaran yang dikenal pasti dalam bidang TVET pertanian, termasuk aspek kebolehpasaran graduan, pekerjaan berkemahiran tinggi serta ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan kemahiran.

"Mesyuarat mengambil maklum dapatan yang dibentangkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubung keperluan memperkukuh pembangunan bakat bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing sektor ini," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Memandangkan isu berkenaan mempunyai implikasi lebih luas terhadap keterjaminan makanan, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi negara, beliau telah mencadangkan supaya perkara itu dibawa ke perhatian Jemaah Menteri melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri bagi membolehkan keputusan dasar yang lebih menyeluruh dan bersepadu dipertimbangkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut mengambil maklum Pelan Pelaksanaan TVET Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 2026-2030, yang memberikan fokus kepada transformasi ekosistem latihan pembinaan melalui pengukuhan tadbir urus, pendigitalan, pemantapan laluan kerjaya serta kerjasama strategik industri.

Melalui pelaksanaan pelan itu, sektor pembinaan akan diperkasakan dengan pembangunan tenaga kerja yang lebih kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan teknologi, termasuk pendigitalan, automasi dan inovasi dalam industri pembinaan. 

"Inisiatif ini juga akan menyokong keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir tempatan serta memperkukuh daya saing sektor pembinaan negara di peringkat serantau dan global," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata mesyuarat turut dimaklumkan mengenai persediaan sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Dataran Putrajaya, yang bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” dengan jangkaan kehadiran lebih 500,000 pengunjung.

Kerajaan akan terus memperkukuh TVET sebagai agenda nasional dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan.

"Saya yakin melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan, TVET akan terus melahirkan bakat yang kompeten, inovatif dan berdaya saing untuk memacu kemajuan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement