Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia mensasarkan lebih empat juta penumpang ke Langkawi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia susulan potensi permintaan bagi destinasi pelancongan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, syarikat itu sedang meneliti lebih banyak laluan antarabangsa dari dan ke Langkawi, termasuk ke Jakarta (Indonesia), Bangkok (Thailand), Shenzen dan Shanghai di China serta Hong Kong.

“Pada 2015, kami (AirAsia) membawa seramai 1.6 juta penumpang bagi laluan Langkawi.

“Dan sasaran kami adalah untuk membawa tiga juta lagi penumpang ke sini dengan penambahan beberapa laluan baru dalam tempoh lima tahun,” kata Fernandes dalam ucapannya semasa majlis meraikan penerbangan sulung dari Guangzhou, China ke Langkawi di sini pada Ahad.


Sasaran kami adalah untuk membawa tiga juta lagi penumpang ke Langkawi dengan penambahan beberapa laluan baru


Pesawat AK 2010 dari Guangzhou mendarat pada jam 10.05 pagi Ahad di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).

AirAsiaNajib diiringi oleh Tiong Lai dan Muhkriz Mahathir ketika tiba di LTAL untuk menyambut ketibaan penerbangan AirAsia dari Guangzhou ke Langkawi. - Foto AstroAWANI / Malik Ridhwan

Ketibaan penerbangan antarabangsa kedua AirAsia di Langkawi itu disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta ketua-ketua eksekutif kumpulan AirAsia di Kompleks Lang Merah, LTAL.

Fernandes berkata pengenalan laluan baru itu secara tidak langsung menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa terbaru AirAsia di rantau ini seperti diumumkan pada Mac tahun lepas semasa Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa (LIMA).

"Dengan menjadikan Langkawi hab antarabangsa, kami yakin dapat meningkatkan trafik pelancongan di pulau ini.

"Kami telah membuat pelaburan yang besar untuk memastikan hab ini boleh menampung dan memudahkan pertumbuhan trafik kami dan mencapai matlamat untuk menjadikan Langkawi sebagai hab penerbangan tambang rendah serantau," kata Fernandes.

Tambah Fernandes, laluan Guangzhou – Langkawi tidak hanya mengukuhkan kedudukan syarikatnya di pulau itu, malah akan melonjakkan lagi ekonomi pulau tersebut dengan potensi pelaburan dari China pada masa akan depan.

Beliau yakin Langkawi akan menjadi salah satu daripada destinasi pelaburan utama dengan lebih banyak hubungan antarabangsa dan akan menjadi pilihan utama pelancong dari China dalam tempoh terdekat.

AirAsiaNajib menerima cenderahati daripada Tony Fernandes sambil diperhatikan Tiong Lai, Datuk Kamaruddin Meranun dan Mukhriz Mahathir. - Foto Astro AWANI / Malik Ridhwan

AirAsia ketika ini menguasai 60 peratus pasaran laluan udara Langkawi, dengan mengendalikan penerbangan terus ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura.

AirAsia mencatat purata tempahan melebihi 80 peratus bagi permulaan penerbangan sulungnya dari Guangzhou, sekaligus menunjukkan perkembangan pesat dalam pelancongan Langkawi dari aspek pelancong Cina.

Bersempena dengan penerbangan sulung itu, tambang promosi serendah RM199 sehala ditawarkan oleh AirAsia untuk laluan tersebut untuk tempahan dari 25 Januari hingga 7 Februari bagi tempoh perjalanan 25 Januari hingga 2 Mei 2016.