JAKARTA: Indonesia sedang berusaha untuk mengukuhkan sara diri tenusu negara memandangkan sekitar 80 peratus permintaan susu domestik masih dipenuhi menerusi import.
Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan, Hanif Faisol Nurofiq berkata, Indonesia hanya mengeluarkan kira-kira satu juta tan susu setiap tahun berbanding permintaan dalam negeri sebanyak empat juta tan, menjadikan negara itu sangat bergantung pada bekalan import.
"Sejak 1920-an, pelaburan telah memasuki Indonesia untuk memenuhi keperluan susu negara kita. Sektor itu kemudiannya berkembang pesat antara 2000 dan 2020.
“Namun, semuanya masih berorientasikan import. 80 peratus keperluan susu kita dibekalkan melalui import. Sejak sekian lama, kita pada dasarnya dikekang oleh pergantungan import," katanya menurut Agensi Berita Antara pada Ahad.
Hanif memberi amaran bahawa pergantungan sedemikian boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan makanan negara, terutamanya semasa gangguan geopolitik global yang menjejaskan bekalan dari negara pengeksport utama.
Bagi menangani isu itu, beliau berkata, kerajaan menggalakkan pembangunan ekosistem tenusu bersepadu meliputi sektor huluan, pertengahan dan hiliran bagi meningkatkan pengeluaran domestik dan mengukuhkan rantaian bekalan.
Beliau berkata, usaha akan termasuk mengembangkan populasi ternakan, meningkatkan produktiviti, mengukuhkan penyelidikan dan inovasi, dan meningkatkan kapasiti industri pemprosesan susu untuk membina sektor tenusu negara yang lebih berdaya saing dan mampan.
Hanif berkata, pengukuhan sektor tenusu juga penting untuk menyokong pembangunan modal insan berkualiti yang diperlukan bagi mencapai wawasan Indonesia Emas 2045, sambil menyatakan bahawa khasiat mencukupi penting untuk tenaga kerja masa depan negara.
-- BERNAMA