AirAsia hari ini menandatangani dua perjanjian utama menempah tambahan 12 pesawat A330neo dan 30 pesawat A321XLR dengan Airbus.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Airbus akan memperluas khidmat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di negara ini dengan penubuhan Inisiatif Digital Airbus Malaysia.

Ia untuk meningkatkan daya saing sektor aeroangkasa tempatan menerusi penerapan teknologi digital baharu, selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab aeroangkasa serantau.

Selain itu, ia sekali gus usaha meningkatkan program penyelidikan bersama, termasuk dalam pengeluaran biofuel.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Guillaume Faury, Pengerusi AirAsia X Berhad, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun untuk projek perindustrian.

Majlis itu disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Sementara itu Guillaume memberitahu, pesanan tambahan itu membuktikan kemampuan Airbus dalam memenuhi penyelesaian terhadap permintaan pasaran pertengahan melalui gabungan produk pesawat lorong tunggal dan pesawat badan luas.

Airbus adalah rakan kongsi antarabangsa terbesar bagi industri aeroangkasa Malaysia.

AirAsia X ketika ini merupakan pelanggan terbesar bagi pesawat A330neo.

Kesemua pesawat A330neo yang ditempah oleh AirAsia X adalah model A330-900, model yang besar berbanding pesawat A330neo yang lain.

Pesawat A330neo direka untuk beroperasi dengan cekap dan baik bagi penerbangan serantau dan jarak jauh.

Pesawat ini berkeupayaan untuk terbang dalam jarak jauh, dan boleh terbang sejauh 7,250 batu nautika untuk A330-900.