Skip to main content

Teknologi

Gemini diperluas, Adobe dan Canva bakal integrasi alat kreatif dalam satu platform

Gemini kini bukan sekadar sebuah pembantu maya tetapi mempunyai kemampuan mengawal pelbagai ejen AI yang ditawarkan pihak ketiga. Selepas CapCut melakukan pengumuman mereka semalam, hari ini Adobe dan Canva juga mengesahkan pelbagai alatan mereka akan boleh diakses terus menerusi Gemini dalam masa terdekat.
Menerusi integrasi baharu ini, imej yang dijana menggunakan model AI Google boleh disunting terus menggunakan ciri Magic Layers oleh Canva. -Foto Amanz

EKOSISTEM kecerdasan buatan (AI) Google Gemini terus diperluas apabila Adobe dan Canva mengesahkan alat digital mereka akan dapat diakses terus melalui platform tersebut dalam masa terdekat.

Langkah itu menyusuli kerjasama antara Google dan CapCut yang diumumkan sebelum ini, sekali gus membolehkan Gemini mengintegrasikan pelbagai ejen AI pihak ketiga tanpa perlu pengguna beralih aplikasi, lapor Amanz.

Menerusi integrasi baharu ini, imej yang dijana menggunakan model AI Google boleh disunting terus menggunakan ciri Magic Layers oleh Canva.

Fungsi tersebut membolehkan setiap elemen visual diasingkan kepada lapisan (layers), sekali gus memudahkan pengguna mengubah suai teks, latar belakang serta objek secara berasingan.

Menurut Canva, ciri itu kini diperkenalkan secara berperingkat kepada sebahagian pengguna sebelum dilancarkan secara meluas.

Sementara itu, Adobe mengesahkan ejen pintar mereka, Firefly AI Assistant, akan dapat digunakan dalam Gemini untuk melaksanakan pelbagai tugasan kreatif.

AI tersebut mampu mengendalikan aliran kerja merentasi aplikasi dalam ekosistem Adobe termasuk Photoshop, Premiere, Illustrator, Lightroom, Express dan Firefly berdasarkan arahan teks pengguna.

Bagaimanapun, Adobe masih belum mengumumkan garis masa rasmi bagi pelaksanaan penuh integrasi itu dalam Gemini.

 

Must Watch Video

Advertisement