AirAsia Bhd menerima anugerah "Strategi Pembayaran Terbaik" kerana mengendalikan pembayaran yang mudah pada malam gala Corporate Treasurer Awards 2016 yang diadakan di Singapura pada Khamis.

Corporate Treasurer Awards mengiktiraf strategi perbendaharaan dan kewangan terbaik Asia untuk keseluruhan industri perbendaharaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata syarikat membuktikan operasi pembayaran mudahnya yang memberi fleksibiliti bagi pelanggan yang menggunakan perkhidmatan penerbangan syarikat itu.

"Fleksibiliti ini adalah untuk memastikan jumlah transaksi yang dilakukan mengikut mata wang pilihan yang merangkumi Dolar AS, Sterling, Euro, Dolar Australia, Yen Jepun, Dolar Singapura dan banyak lagi," kata Ketua Kumpulan Perbendaharaan AirAsia Rozainol Bahari dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

AirAsia terbang ke lebih 27 negara yang merangkumi 120 destinasi dan lebih daripada 250 laluan.

Menurut beliau, sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia, AirAsia memberi perkhidmatan kepada pelbagai kategori pelanggan yang terbang setiap hari - untuk urusan perniagaan dan percutian - dari semua negara termasuk Thailand, China, Indonesia, India, Filipina dan Australia.

"Walaupun berbeza dari segi budaya, semua pelancong secara lazimnya mahukan khidmat yang sama iaitu transaksi yang lancar dan mudah. Salah satu khidmat utama kami ialah trek peribadi, dan kami telah melaksanakan satu struktur yang menawarkan khidmat pilihan yang memudahkan pelanggan yang berasal dari pelbagai negara," katanya.

Beliau berkata syarikat akan terus membuat pembaharuan dalam perkhidmatan untuk memberi kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan dari seluruh dunia. -- Bernama