Skip to main content

Bisnes

AirBorneo umum tambang Kuching-KL RM375 sehala

[TB]_AirBorneo_ASTRO AWANI
AirBorneo mengumumkan pembukaan jualan tiket bagi laluan ke Kuala Lumpur pada harga RM375 sehala. Penerbangan komersial sulung AirBorneo pada 20 Julai 2026 akan beroperasi bagi laluan Kuala Lumpur–Kuching, dengan 100 tempat duduk kepada orang awam. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUCHING: Syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, AirBorneo Airways (AirBorneo) dalam satu kenyataan awal pagi tadi mengumumkan pembukaan jualan tiket bagi laluan ke Kuala Lumpur pada harga RM375 sehala.

Ia sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat penerbangan itu memperkukuh hubungan udara di antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia, di samping memperluaskan akses ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa.

Perkhidmatan baharu ini akan beroperasi sebanyak dua kali sehari di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan diyakini mengukuhkan peranan Kuching sebagai pintu masuk strategik serta menawarkan kemudahan dan kesalinghubungan yang lebih baik kepada pelancong dan pengembara perniagaan.

Tambang istimewa “Sarawakku Sayang” ini melibatkan semua caj bagi tiket sehala Kelas Ekonomi dan bermula daripada RM736 termasuk semua caj bagi tiket sehala Kelas Perniagaan.

Tambang yang merangkumi cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api ini akan dibuka tempahannya bermula jam 7 pagi tadi (7 Julai) manakala penerbangan akan bermula pada 20 Julai 2026.

Tiket boleh didapati secara eksklusif melalui laman sesawang rasmi AirBorneo di www.airborneo.com serta aplikasi mudah alih AirBorneo.

Dengan tawaran eksklusif melalui saluran tempahan rasminya, AirBorneo memastikan pelanggan menikmati tambang terendah yang disahkan, harga yang telus, urus niaga yang selamat, sokongan pelanggan secara langsung serta kemas kini tempahan pada masa nyata.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Aminuddin, pembukaan jualan tiket bagi laluan Kuala Lumpur merupakan satu pencapaian penting untuk pertumbuhan AirBorneo, yang sekali gus memperkukuh hubungan udara Sarawak dengan seluruh Malaysia dan destinasi antarabangsa.

“Kuala Lumpur merupakan pintu masuk strategik yang membuka akses lebih luas kepada destinasi domestik dan antarabangsa, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan perniagaan," kata beliau.

Sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak, katanya, AirBorneo komited untuk menghubungkan rakyat, perniagaan dan peluang menerusi perkhidmatan penerbangan yang selamat, boleh dipercayai serta mampu dimiliki.

Pengenalan tambang “Sarawakku Sayang” adalah sebahagian daripada komitmen tersebut, bagi menjadikan perjalanan udara lebih mampu diakses, di samping menyokong aspirasi Sarawak untuk memperkukuh hubungan udara, memajukan sektor pelancongan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Penerbangan komersial sulung AirBorneo pada 20 Julai 2026 akan beroperasi bagi laluan Kuala Lumpur–Kuching, dengan 100 tempat duduk kepada orang awam.

Perkhidmatan tetap dua kali sehari antara Kuala Lumpur dan Kuching akan bermula pada 21 Julai 2026, dengan penerbangan akan berlepas pada jam 7.10 pagi dan 1.00 petang dari LTAK ke KLIA1, manakala dari jam 9.45 pagi dan 3.35 petang dari KLIA1 ke LTAK.

 

Must Watch Video

Advertisement