Skip to main content

Dunia

AS peruntukkan US$81 juta untuk operasi penahanan migran di Guantanamo yang hanya tahan 849 individu

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Rabu oleh Ketua Inspektor Jeneral Jabatan Pertahanan AS, kira-kira 350 anggota tentera AS ditempatkan di Guantanamo Bay (gambar) setakat September bagi menyokong operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di bawah Operasi Southern Guard. - Gambar fail
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Rabu oleh Ketua Inspektor Jeneral Jabatan Pertahanan AS, kira-kira 350 anggota tentera AS ditempatkan di Guantanamo Bay (gambar) setakat September bagi menyokong operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di bawah Operasi Southern Guard. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Pentagon membelanjakan lebih US$81.5 juta untuk Operasi Southern Guard di Teluk Guantanamo sejak 2025, namun hanya 849 migran ditahan setakat ini.
  • Laporan Inspektor Jeneral mendapati kapasiti maksimum kemudahan penahanan hanya 399 orang, jauh lebih rendah daripada jangkaan awal puluhan ribu migran.
  • Tempoh penahanan migran meningkat akibat kesukaran penghantaran pulang dan kekangan jadual penerbangan, dengan purata tahanan selama tujuh hari antara Julai-September 2026.
Advertisement

ISTANBUL: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) membelanjakan lebih US$81 juta bagi menyokong operasi pemindahan dan penahanan migran oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di Stesen Tentera Laut Teluk Guantanamo, Cuba, meskipun hanya 849 migran ditahan di kemudahan itu sejak operasi berkenaan dimulakan, menurut laporan terbaharu badan pemantau.

Laporan yang dikeluarkan pada Rabu oleh Ketua Inspektor Jeneral Jabatan Pertahanan AS mendedahkan bahawa Pentagon memperuntukkan lebih US$81.5 juta bagi Operasi Southern Guard sejak dilancarkan pada 2025, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Walaupun pada awalnya sumber digerakkan bagi menyediakan kemudahan untuk menempatkan puluhan ribu migran di pangkalan tentera laut itu, laporan berkenaan mendapati hanya 849 individu pernah ditempatkan di situ.

Advertisement

Pada Januari 2025, Presiden Donald Trump mengarahkan agensi persekutuan supaya menyediakan kemudahan untuk menahan individu yang disifatkannya sebagai "pendatang tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah berkeutamaan tinggi dan berada secara haram di Amerika Syarikat".

"Kebanyakan orang tidak tahu mengenainya. Kita mempunyai 30,000 katil di Teluk Guantanamo untuk menahan pendatang tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah paling serius dan mengancam rakyat Amerika," kata Trump ketika itu.

Advertisement

"Ini akan menggandakan kapasiti kita dengan serta-merta."

Cadangan itu bagaimanapun menerima pandangan yang meragukan daripada pegawai AS sejak awal lagi.

Ketika itu, seorang pegawai memberitahu CNN bahawa walaupun Teluk Guantanamo mungkin mampu menampung 30,000 orang pada 1990-an, kapasiti sedemikian tidak lagi tersedia.

Dalam beberapa minggu berikutnya, pihak berkuasa bertindak pantas membina kemudahan khemah di pangkalan tentera laut itu manakala ratusan anggota tentera dikerahkan bagi menyokong operasi yang dijangka menempatkan ribuan migran buat sementara waktu sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, laporan terkini Inspektor Jeneral mendapati kapasiti maksimum kemudahan itu sepanjang operasi berkenaan hanyalah 399 orang.

"Sehingga 3 September, terdapat lapan pendatang tanpa izin ditahan di NSGB," menurut laporan itu, menggunakan singkatan bagi Stesen Tentera Laut Teluk Guantanamo.

Laporan itu turut menyatakan kira-kira 350 anggota tentera AS ditempatkan di Guantanamo Bay setakat September bagi menyokong operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di bawah Operasi Southern Guard. Bagaimanapun, jumlah anggota yang terlibat mungkin berubah dari semasa ke semasa.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa migran menghabiskan purata tujuh hari di pangkalan berkenaan antara Julai hingga September 2026.

Menurut laporan itu, tempoh penahanan secara umumnya meningkat sejak operasi dimulakan berikutan kesukaran mendapatkan persetujuan penghantaran pulang daripada negara asal migran serta kekangan dalam penyelarasan jadual penerbangan.

Kelewatan itu menyebabkan seorang migran ditahan di Teluk Guantanamo sehingga 102 hari sebelum dipindahkan.

Berdasarkan pecahan kewangan dalam laporan berkenaan, Tentera Darat AS menyumbang bahagian terbesar daripada peruntukan dana untuk operasi itu.

Walaupun laporan itu tidak memperincikan secara khusus bagaimana wang berkenaan dibelanjakan, Tentera Darat AS lazimnya bertanggungjawab menyelia dan menyelaraskan operasi logistik ketenteraan berskala besar.

"Sepatutnya terdapat perancangan yang lebih rapi sebelum pelaksanaan dimulakan. Kini operasi sudah berjalan dan semua pihak cuba menyusun perancangan selepas pelaksanaan bermula," kata seorang sumber yang mengetahui perkara itu kepada CNN.

Tahun lepas, anggota Parti Demokrat turut mengkritik penggunaan pesawat tentera yang mahal, dengan kos kira-kira US$21 juta, untuk membawa migran ke Teluk Guantanamo. Kos operasi penerbangan pula mencecah US$26,277 bagi setiap jam penerbangan.

Senator Elizabeth Warren berkata penerbangan itu hanyalah "aksi politik yang tidak menjadikan kita lebih selamat."

Parti Demokrat dan ramai aktivis turut mempersoalkan dakwaan Trump bahawa "pendatang tanpa izin yang mempunyai rekod jenayah paling serius" menjadi sasaran penahanan.

Mereka berkata ramai migran yang menjadi sasaran ejen imigresen AS sebenarnya merupakan penduduk tetap yang mematuhi undang-undang, mempunyai pekerjaan serta keluarga.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement