MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS) telah memeterai perjanjian dengan MEASAT International (South Asia) Ltd (MISAL) membabitkan penggunaan kapasiti transponder satelit MEASAT-3b (M3b), dengan bayaran sebanyak US$22.5 juta (US$ 1 = RM3.87) untuk selama 12 tahun.

MBNS merupakan anak syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro), manakala MISAL adalah subsidiari milik penuh operator satelit, MEASAT Global Bhd, yang terlibat dalam penyediaan satelit keupayaan jalur lebar.

Sekarang ini, MBNS telah memajak 18 transponder satelit M3b daripada MISAL.

"Di bawah perjanjian itu, MISAL bersetuju untuk membekalkan sebanyak enam transponder tambahan kepada MBNS selama 12 tahun, dari 8 Jun 2018 hingga 11 Jun 2030," kata Astro dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perjanjian itu merangkumi hak MBNS untuk menggunakan frekuensi yang perlu yang telah diperuntukkan bagi tujuan untuk naik turun isyarat perkhidmatan yang disediakan oleh MBNS kepada para pelanggan, termasuk "near video on demand" (NVOD), perkhidmatan video atas permintaan (VOD), penghantaran ke Hotspot WiFi untuk kandungan "over-the-top" dan sebagai sokongan kepada transponder sedia ada pada satelit M3b.

Astro berkata, jalur lebar baharu daripada transponder tambahan ini boleh dipakai bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan NVOD, mengoptimumkan infrastruktur penstriman video melalui tolakan VOD untuk Astro dan sekali gus menambah baik perkhidmatannya.

"Transponder itu juga bertindak sebagai sandaran sekiranya berlaku kerosakan dalam mana-mana transponder sedia ada Astro yang digunakan pada satelit M3b," katanya.

Berikutan cadangan penggunaan itu, kapasiti transponder MBNS akan meningkat daripada 36 kepada 42 transponder.

"Cadangan penggunaan tersebut adalah penting kepada operasi harian MBNS dan akan menyumbang kepada pendapatan masa depan Kumpulan Astro," katanya.

Astro berkata cadangan penggunaan itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material terhadap aset bersih yang disatukan dan aset bersih sesaham, tetapi akan meningkatkan nisbah penggearan Kumpulan Astro kepada 5.58 kali daripada 5.46 kali, berdasarkan kepada penyata kewangan disatukan teraudit syarikat sehingga 31 Jan 2017.

-- BERNAMA