Keputusan FIFA perlu dihormati, jangan ulang kesilapan sama - Safee

Safee Sali menyarankan FAM terus fokus dan bergerak ke hadapan serta menumpukan kepada usaha membangunkan bola sepak negara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengisytiharkan Malaysia kalah 3-0 bagi tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 perlu dihormati dan wajar diterima secara terbuka.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali menyarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk terus fokus dan bergerak ke hadapan serta menumpukan kepada usaha membangunkan bola sepak negara.
"Kesilapan telah dilakukan dan FIFA telah menjatuhkan hukuman. Kita tidak perlu melakukan kesilapan yang sama. Kita kena bergerak dan melangkah ke arah yang lebih positif, langkah demi langkah," katanya pada sidang media Kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025, di sini hari ini.
Mengulas tentang kesan keputusan itu terhadap skuad kebangsaan, beliau percaya pemain Harimau Malaya masih memiliki semangat untuk bangkit dan meneruskan perjuangan selagi diberikan peluang beraksi di pentas antarabangsa.
"Pemain pasti mahu menang dan mereka tidak akan berputus asa. Selagi mana mereka boleh beraksi, masih ada harapan," katanya.
SUKAN-BOLA SEPAK (SAFEE) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Beliau berkata skuad Harimau Malaya wajar terus diberikan sokongan kerana pasukan itu menggalas tanggungjawab besar membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.
FAM hari ini mengesahkan menerima hukuman daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA susulan kes menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad Harimau Malaya.
Dalam kenyataan hari ini, FAM memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah dengan jaringan 0-3 bagi tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad Harimau Malaya, selain turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
Tiga perlawanan terbabit ialah Malaysia lawan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei yang berkesudahan seri 1-1 dan perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 Sept yang menyaksikan Malaysia menang 2-1.
Satu lagi perlawanan ialah pertemuan dengan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 Sept yang berkesudahan Malaysia menang 1-0.
Sementara itu, Kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 yang dijadual berlangsung pada 27 Dis ini di Stadium MPAJ, Pandan Perdana bakal mempertandingkan empat kategori umur, iaitu di bawah lapan tahun, 10 tahun, 12 tahun dan 14 tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


