BUSINESS
ASEAN kekal destinasi pelaburan strategik, masih banyak peluang menanti - Amir Hamzah

Amir Hamzah (kiri) diwawancara oleh Najib Arof (tengah) dan Harith Asyraf Hasnan dalam program Niaga AWANI, hari ini.
KUALA LUMPUR: Rantau ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan yang strategik, dengan peluang perniagaan yang masih luas terutamanya melalui perdagangan Intra-ASEAN, kata Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut Menteri Kewangan II itu menegaskan, tumpuan terhadap kerjasama serantau perlu diperkukuh bagi membina semula keseimbangan dagangan dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara-negara anggota.
Kata beliau, perdagangan antara negara-negara ASEAN harus digalakkan kerana setiap negara mempunyai kepakaran dan keluaran yang berbeza.
“Peluang perniagaan masih banyak dalam ASEAN. Kita hanya perlu memberi penekanan dan fokus dengan lebih lagi untuk membina keseimbangan yang lebih baik.
“Kita tidak semua mengeluarkan barangan yang sama, jadi apa yang penting adalah kita cari jalan di mana kita boleh berdagang antara kita semua," katanya.
Amir Hamzah berkata demikian ditemu bual khas oleh penyampai Astro AWANI, Najib Aroff dan Haritsnabianabi Asyraf Hasnan dalam program Niaga AWANI seiring penganjuran ASEAN Investment Conference (AIC), hari ini.
Dalam masa sama, Amir Hamzah turut memuji usaha yang sedang dilaksanakan melalui rangka kerja seperti ASEAN+3 (yang melibatkan China, Korea dan Jepun) serta Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berpotensi besar meningkatkan keberkesanan dagangan serantau.
“Dengan inisiatif-inisiatif ini, ia dapat imbang balik tekanan yang kita hadapi dari luar ke dalam rantau ini," jelas Menteri Kewangan II itu lagi.
Tambahnya, dalam konteks Malaysia, pendekatan diversifikasi perdagangan yang diamalkan sejak sekian lama telah membuahkan hasil.
Amir Hazmah turut menyifatkan AIC sebagai platform terbaik dan dapat dijadikan asas kukuh untuk memperluas kerjasama perindustrian serta integrasi ekonomi serantau.
"Dengan gabungan pendekatan bersepadu dan dasar perdagangan terbuka, ASEAN dilihat mampu mengimbangi tekanan global dan terus menarik pelabur jangka panjang," tegas beliau lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami