Skip to main content

Bisnes

Astro catat hasil RM713 juta pada Q4FY26

ASTRO
Pada suku keempat FY26 (Q4FY26), Astro merekodkan hasil sebanyak RM713 juta, meningkat dua peratus suku ke suku (QoQ) dan merupakan suku dengan prestasi hasil terkuat bagi tahun kewangan itu.

KUALA LUMPUR: Tahun Kewangan 2026 bagi Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memperlihatkan momentum kewangan yang semakin kukuh apabila mencatatkan pertumbuhan hasil dua suku berturut-turut.

Dalam siaran media pada Rabu, syarikat itu berkata, keadaan tersebut menandakan keberkesanan pelaksanaan strategi transformasi kumpulan dalam persekitaran media yang semakin mencabar serta berpecah-pecah. 

Advertisement

Menurutnya lagi, pada suku keempat FY26 (Q4FY26), Astro merekodkan hasil sebanyak RM713 juta, meningkat dua peratus suku ke suku (QoQ) dan merupakan suku dengan prestasi hasil terkuat bagi tahun kewangan itu. 

Ini susulan peningkatan dua peratus QoQ pada suku ketiga FY26, menjadikan dua suku berturut-turut pertumbuhan positif selepas tempoh tekanan berpanjangan dalam industri penyiaran. 

“Secara keseluruhan, Astro mencatatkan hasil tahunan FY26 sebanyak RM2.8 bilion, disokong oleh pemulihan beransur-ansur perbelanjaan pengiklanan, sumbangan kukuh daripada kandungan filem serta petumbuhan berterusan perniagaan jalur lebarnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu Astro berkata, prestasi kewangan yang memberangsangkan didorong terutamanya oleh pemulihan segmen pengiklanan, dengan hasil pengiklanan (ADEX) mencatatkan peningkatan ketara 18 peratus QoQ pada Q4FY26. 

Pertumbuhan itu, jelasnya lagi, disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi merentasi platform televisyen, radio dan digital, mencerminkan keyakinan pengiklan terhadap capaian audiens Astro yang masih dominan di negara ini. 

“Pemulihan ADEX itu dilihat signifikan dalam konteks pasaran media yang berdepan persaingan sengit daripada platform digital global serta perubahan corak penggunaan media oleh pengguna domestik,” menurutnya lagi.

Dari segi keupayaan menjana keuntungan, Astro berkata ia merekodkan EBITDA sebanyak RM137 juta pada Q4FY26, dengan margin EBITDA 19 peratus. 

“Bagi keseluruhan FY26, EBITDA kumpulan berjumlah RM614 juta, mencerminkan imbangan antara kawalan kos yang berdisiplin dan pelaburan berterusan dalam kandungan serta infrastruktur digital. 

“Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pula berjumlah RM24 juta pada Q4FY26, manakala PATAMI FY26 mencecah RM63 juta, menandakan kestabilan keuntungan di sebalik landskap operasi yang mencabar,” menurutnya lagi.

Yang lebih penting, tambahnya lagi, syarikat itu terus mencatatkan aliran tunai bebas positif sebanyak RM107 juta, mengukuhkan kedudukan kecairan kumpulan dan memberi ruang kewangan untuk terus melabur dalam kandungan tempatan, penstriman digital serta inisiatif pertumbuhan strategik jangka panjang. 

Menyentuh mengenai sudut pengurusan kewangan, Astro berkata, ia mengekalkan fokus ketat terhadap disiplin kos. 

“Perbelanjaan operasi menurun enam peratus tahun ke tahun (YoY), hasil penjimatan dalam kos kandungan, kos penyampaian serta kos pemerolehan pelanggan. Penjimatan ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos berkaitan jalur lebar dan kakitangan, sejajar dengan pelaburan dalam segmen pertumbuhan baharu,” menurutnya lagi.

Astro berkata ia kini menguruskan struktur kos dwi, merangkumi kos legasi perniagaan Pay-TV yang semakin berkurangan serta kos pelaburan berterusan bagi menyokong transformasi ke arah platform digital dan penstriman. 

Menurut kumpulan itu, kos legasi terus dikurangkan secara berperingkat selari dengan kemajuan transformasi perniagaan.

“Dari perspektif pelanggan, hasil purata bagi setiap pengguna (ARPU) mencatat penurunan kecil kepada RM94.30. 

“Namun, Astro menegaskan penurunan ini adalah sejajar dengan strategi jangka panjang untuk memperluas pangkalan pelanggan serta meningkatkan penglibatan merentas platform, berbanding semata-mata menumpukan kepada hasil jangka pendek,” katanya lagi.

Mengulas hala tuju ke hadapan, Astro memaklumkan kumpulan akan terus mengutamakan peruntukan sumber yang lebih berfokus, memperkukuh disiplin kos serta menilai pelaburan kandungan dan digital secara selektif.

Syarikat itu berkata  ia bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu. 

“Secara keseluruhan, prestasi FY26 menunjukkan Astro berada pada kedudukan kewangan yang lebih stabil berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan aliran tunai positif, pemulihan hasil dan pengiklanan serta struktur kos yang semakin cekap.

“Ia faktor yang penting dalam memastikan daya saing jangka panjang kumpulan dalam industri media yang terus berubah,” menurut syarikat itu lagi.

Must Watch Video