Terdapat minat yang kian meningkat di kalangan syarikat Australia untuk menggunakan Malaysia sebagai hab serantau dan laluan ke Asia, kata presiden Majlis Perniagaan Australia Malaysia (AMBC), Joe Perri.

Beliau berkata sejak Perjanjian Perdagangan Bebas Australia berkuat kuasa pada Januari tahun ini, tahap minat untuk menjalankan perniagaan di Malaysia dan rantau ini meningkat dengan begitu ketara.

"Apa yang kami lihat sebagai majlis perniagaan, ialah, syarikat-syarikat Australia ini telah melakukan "kerja rumah" dan penyelidikan mereka.

"Mereka mahu merebut peluang insentif strategi "Australia di Asia" yang dipromosikan oleh kerajaan Australia," kata beliau.

Perri, di majlis jamuan tengah hari AMBC yang dianjurkan oleh syarikat perakaunan terkemuka Pitcher Partners berkata, syarikat-syarikat yang berjaya ialah mereka yang telah mempunyai pendekatan bersepadu sepenuhnya apabila meneroka pasaran seberang laut.

Beliau berkata bahawa AMBC mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk membantu syarikat-syarikat Australia dalam penyelidikan dan pemahaman terhadap pasaran Malaysia dan melangkauinya.

Perri berkata Direktori Perniagaan Ahli AMBC yang baharu disusun mengandungi maklumat berharga mengenai syarikat dan perniagaan yang telah ditubuhkan di Malaysia.

Beliau juga berkata Konsul Besar Malaysia di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya, telah bekerja keras untuk membina hubungan dengan komuniti perniagaan Australia.

Mohd Rameez, yang memberi taklimat kepada tetamu mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 berkata, dengan kembalinya kuasa kerajaan diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, perniagaan akan terus berkembang dengan keyakinan yang kian meningkat di dalam negara.