KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh muktamad perjanjian pembelian saham (SPA) mereka berkaitan cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd serta Digi.

Tarikh baharu itu adalah 31 Dis 2022 berbanding 21 Jun sebelum ini atau tarikh lain yang dipersetujui bersama secara bertulis antara kedua-dua pihak.

"Kecuali tarikh akhir tersebut, semua terma dan syarat SPA yang lain kekal tidak berubah," kata Axiata dan Digi dalam makluman masing-masing kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Menurut makluman Digi pada 21 Jun 2021, di bawah SPA yang dimeterai antara Axiata dan Digi pada tarikh yang sama, syarat prajadi dalam SPA akan dipenuhi dalam tempoh 12 bulan dari tarikh SPA ditandatangani atau tarikh lain yang dipersetujui bersama secara bertulis antara Digi dan Axiata (tarikh baharu yang dimuktamadkan).

-- BERNAMA