Skip to main content

Bisnes

Axiata lantik Nik Rizal Kamil sebagai GCEO, pengarah urusan berkuat kuasa 1 Jun, 2026

Nik Rizal Kamil
Nik Rizal memiliki Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Kewangan dari London Business School dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, United Kingdom. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd melantik Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil untuk menggantikan Vivek Sood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) dan Pengarah Urusan (MD), berkuat kuasa 1 Jun, 2026.

Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan itu berkata pelantikan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi perancangan penggantian kepimpinan jangka panjang Axiata dan mengesahkan semula komitmennya terhadap kesinambungan kepimpinan dan pembangunan bakat dalaman yang kukuh.

Advertisement

Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata Nik Rizal yang kini merupakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO), telah memainkan peranan penting dalam membentuk strategi Axiata, memperkukuh disiplin kewangan dan menyokong pelaksanaan keutamaan jangka panjang kumpulan.

“Berdasarkan pengalamannya bersama Axiata, industri dan para pemegang kepentingan kami, lembaga pengarah yakin pelantikannya akan meletakkan Axiata pada kedudukan yang baik untuk prestasi mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.

Kumpulan itu berkata Nik Rizal yang menyertai Axiata pada Januari 2024 sebagai GCFO, mempunyai pengalaman yang luas dan kepakaran mendalam merangkumi kewangan perniagaan, pelaburan dan perakaunan.

Selain peranannya sebagai GCFO Axiata, Nik Rizal kini turut berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah dalam beberapa syarikat Axiata Group seperti CelcomDigi Bhd, PT Xlsmart Telecom Sejahtera Tbk, Robi Axiata PLC, Edotco Group Sdn Bhd dan PT Link Net Tbk.

“Nik Rizal memiliki Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Kewangan dari London Business School dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, United Kingdom.

“Beliau juga merupakan Felo Akauntan Bertauliah (FCA) dan Profesional Kewangan Perniagaan dengan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW), serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video