KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan melaksanakan segala inisiatif kepada penjawat awam serta rakyat yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Presidennya, Adnan Mat berkata, inisiatif kerajaan membenarkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sehingga 50 peratus atau 80 hari merupakan perkara yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2020 tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Cuepacs menghargai setiap inisiatif yang menyentuh secara terus penjawat awam seperti bantuan khas kewangan sebanyak RM700 serta GCR yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

"Komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan tetap komited untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam selain terus menjaga kebajikan kira-kira 1.6 juta warganya.

"Cuepacs menghargai setiap inisiatif yang menyentuh secara terus penjawat awam seperti bantuan khas kewangan sebanyak RM700 serta gantian cuti rehat yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari. Cuepacs percaya penjawat awam juga tetap menerima manfaat lain melalui pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam Belanjawan 2022," kata beliayu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.


BACA: Bajet 2022: Penjawat awam terima bantuan khas kewangan RM700, pesara RM350

Dalam masa sama, Adnan berkata, Cuepacs berharap kerajaan bersifat terbuka dalam membuka pintu rundingan dengan warga pekerja terutama dengan kesatuan sekerja yang menjadi suara dalam menyalurkan segala permasalahan pekerja.

Katanya, ia termasuk  membuka pintu rundingan bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan melibatkan perkhidmatan awam seperti semakan semula Sistem Saraan Malaysia yang telah digunakan oleh perkhidmatan awam sejak November 2002 serta pelaksanaan gaji minimum yang baharu sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara.

"Semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam dan gaji minimum ini selari dengan hasrat kerajaan mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat kepada RM10,000 sebulan pada tahun 2025.

"Cuepacs berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula cadangan daripada Cuepacs untuk mewujudkan sistem saraan yang baharu dalam perkhidmatan awam sekali gus memberi motivasi kepada 1.6 juta warga penjawat awam.

"Pelaksanaan sistem saraan baharu perlu dilakukan bagi memastikan ia relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem yang diwujudkan 19 tahun lalu," kata beliau lagi.