KOTA BHARU: Kedudukan Malaysia sebagai negara transit dalam rangkaian penyeludupan dadah rentas sempadan mendorong usaha memperkukuh kerjasama risikan dengan Thailand, Indonesia dan Filipina bagi membanteras kegiatan sindiket antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata rangkaian sindiket berkenaan sudah lama bertapak dan menggunakan Malaysia sebagai laluan transit sebelum dadah dihantar ke Indonesia, Filipina serta beberapa negara lain.
Beliau berkata kerjasama risikan antara empat negara itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan pergerakan sindiket serta mematahkan cubaan penyeludupan rentas sempadan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja dilakukan selepas dadah memasuki Malaysia, malah turut melibatkan usaha mengesan penghantaran sebelum bahan terlarang itu tiba di negara ini atau ketika dibawa ke negara destinasi.
“Kadangkala tangkapan dibuat sebelum dadah sampai ke Malaysia, ada yang berjaya kita patahkan di negara ini dan ada juga yang terlepas ke negara lain sebelum pihak berkuasa negara itu mengambil tindakan.
“Justeru, perkongsian maklumat antara empat negara ini penting dalam membantu pihak berkuasa menangani ancaman dadah,” katanya selepas program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Dendang, Ketereh, di sini hari ini.
Beliau berkata perkongsian maklumat itu dilakukan secara timbal balik setiap kali rampasan atau tangkapan membabitkan sindiket rentas negara bagi mengenal pasti rangkaian, individu yang membawa dadah serta destinasi penghantaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata Malaysia turut menghubungi pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung rampasan dadah bernilai kira-kira RM229 juta di Sumatera baru-baru ini, khususnya bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan rangkaian sindiket dari Malaysia.
Beliau berkata sindiket penyeludupan dadah semakin dinamik apabila menggunakan pelbagai laluan termasuk darat, laut dan udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, kawalan di pintu masuk negara termasuk lapangan terbang dan sempadan darat turut dipertingkat bagi mengekang kegiatan berkenaan.
Sebelum ini, polis Indonesia menumpaskan sindiket penyeludupan dadah membabitkan rangkaian Indonesia-Malaysia dengan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai Rp1.01 trilion (RM229 juta) dalam satu operasi di Sumatera.
Menurut laporan media tempatan, lima lelaki turut ditahan, termasuk seorang bekas pelumba motosikal dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan dalang sindiket pengedaran dadah berkenaan yang masih diburu.
-- BERNAMA