KUALA LUMPUR: Pendekatan baharu diperkenalkan menerusi Bajet 2023 disifatkan sebagai langkah komprehensif yang tidak hanya terus memperkukuhkan pemulihan ekonomi negara, sebaliknya, turut membina daya tahan rakyat dan perniagaan untuk kalis cabaran masa hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, konsep berpandukan 3R iaitu Responsive (responsif), Responsible (bertanggungjawab) dan Reformist (reformis) ini adalah satu pendekatan yang dirancang dengan teliti.

“Dalam membina daya tahan negara, kita perlu mengusahakan kemampanan dan tanggungjawab fiskal termasuk pengurusan hutang yang berhemah serta kemampanan hasil, menangani ketirisan serta memperkasakan kesihatan awam dan membina kapasiti pertahanan awam.

“Tapi kita perlu belajar dari pengalaman lepas dengan memastikan isu sekuriti makanan, kesiapsiagaan menghadapi bencana alam contohnya banjir, keselamatan siber dan transaksi digital. Pendekatan kita amat holistik dan merangkumi pelbagai aspek ‘kesihatan’ ekonomi,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu bagi program Agenda AWANI pada Ahad.

Agenda AWANI: Membina daya tahan ekonomi
 
Bajet 2023 merupakan yang terbesar dalam sejarah belanjawan negara iaitu sejumlah RM372.3 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM40.2 bilion berbanding bajet sebelumnya.

Menerusinya kerajaan memperuntukkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan kenaikan sehingga RM2,500 kepada isi rumah berpendapatan kurang RM2,500.

Bantuan berkenaan dijangka bakal memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.8 bilion.

Sementara itu, hampir satu juta pembayar cukai bakal menerima manfaat apabila kadar cukai pendapatan individu bermastautin dikurangkan dua mata peratus disamping kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) berpendapatan tahunan di bawah RM100,000.

Tambah Zafrul, kerajaan akan terus menumpukan kepada usaha penstrukturan semula dan pembangunan mampan termasuk pewujudan dana pelaburan lebih RM1 bilion bagi menarik lebih banyak pelaburan tambah nilai (value-added) ke dalam negara.

“Ia bakal menjana peluang pekerjaan profesional juga bergaji lebih tinggi… industri berkenaan termasuk Elektrik dan Elektronik, pembangunan industri peranti perubatan termasuk latihan modal insan.

“Pendekatan reformis ini akan kita memberi untuk mengubah landskap pembangunan negara agar ia lebih inklusif dan mampan serta menyokong pelaburan strategik.

“Ia sekaligus membantu negara dalam menyediakan rakyat untuk mengharungi masa hadapan lebih selesa dan yakin meskipun terdapat cabaran ekonomi pada tahun 2023,” ujarnya.

Bajet 2023 juga tidak melupakan tulang belakang kepada ekonomi negara iaitu golongan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS)… bermula tahun taksiran 2023, kadar cukai ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Pengurangan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 150,000 pembayar cukai PMKS, malah lebihan kecairan diberi ini dapat menjadi pemangkin kepada ekonomi dan sedikit sebanyak dapat membantu mereka lebih berdaya tahan ketika prospek ekonomi global akan lebih mencabar pada tahun hadapan.