KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd memberi pandangan positif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, ringgit dan prestasi bursa tempatan di samping tekanan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat susulan pembentangan Belanjawan 2024.

Dalam nota penyelidikan pada Jumaat, bank pelaburan itu menjelaskan pihaknya mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada 4.6 peratus dengan risiko menaik, serta menjangkakan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dan ringgit mengukuhkan pada tahun depan.

"Bagi inflasi keseluruhan, kami menjangkakan IHP meningkat kepada 3.3 peratus (daripada unjuran sebelum ini pada 2.7 peratus), berikutan pembaharuan subsidi dan cukai perkhidmatan yang lebih tinggi," menurutnya.

RHB juga berpandangan ekonomi China yang semakin baik dijangka memberi manfaat kepada banyak ekonomi serantau, dengan tanda pemulihan yang sangat awal diperkukuh oleh peningkatan momentum pertumbuhan baru-baru ini.

"Kami meningkatkan jangkaan pertumbuhan KDNK China kepada lima peratus, daripada 4.0 peratus sebelum ini berdasarkan tiga pemangkin utama termasuk data frekuensi tinggi China yang mendapat momentum dalam bacaan baru-baru ini, menyokong pertumbuhan keseluruhannya.

"Kedua, penggunaan komoditi utama oleh China, proksi awal latar belakang ekonominya, telah meningkat pada suku ini setakat ini, dan ketiga, pasaran buruh China yang mencatatkan kadar pengangguran menurun kepada 5.0 peratus bagi September, menunjukkan perniagaan/latar belakang industri yang agak bertambah baik," jelasnya.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd juga mengulangi jangkaannya iaitu prestasi perdagangan luar yang lebih baik bagi Malaysia tahun depan apabila ekonomi serantau mendapat manfaat daripada angka ekonomi China yang lebih baik. - BERNAMA