BEIJING: Syarikat teknologi China melancarkan kad grafik permainan (gaming) pertama buatan negara itu, Lisuan LX 7G100, sekali gus mencabar dominasi pengeluar utama dari Amerika Syarikat dalam pasaran perkakasan komputer.
Sebagai produk generasi pertama, prestasi grafik kad tersebut dilaporkan setara dengan model NVIDIA RTX 3060 yang diperkenalkan pada 2021, lapor Amanz.
Kad grafik itu dilengkapi memori akses rawak video (VRAM) 12GB GDDR6 serta menyokong pelbagai standard perisian grafik termasuk DirectX 12 (DX12), Vulkan 1.3, OpenGL 4.6 dan OpenCL 3.0.
Dari segi keupayaan visual, ia menyokong resolusi sehingga 8K pada kadar segar semula 60Hz selain dilengkapi ciri julatan dinamik tinggi (HDR) dan teknologi paparan FreeSync.
Lisuan LX 7G100 turut menjadi antara kad grafik bukan keluaran AMD, Intel atau NVIDIA yang menerima pengesahan rasmi pemandu perisian Microsoft Windows Hardware Quality Labs (WHQL).
Di pasaran domestik China, kad grafik ini ditawarkan pada harga bermula RMB 2,969 (kira-kira RM1,730) seunit.
Walaupun harganya lebih tinggi berbanding beberapa pesaing seperti RTX 4060, Intel Arc B580 dan RX 6600 XT, syarikat itu memaklumkan sebanyak 30,000 unit kumpulan pertama telah habis terjual.