Satu pasukan petugas khas akan diwujudkan bagi memantau semua syarat yang di kenakan ke atas Proton dalam menerima bantuan RM1.5 bilion daripada kerajaan.

Antara tiga perkara yang dipantau pasukan petugas berkenaan adalah pelaksanaan pelan pemulihan perniagaan Proton dan menjadikannya berdaya maju dan berdaya saing.

Selain itu pasukan petugas khas berkenaan akan memantau pelan strategik bagi meningkatkan penguasaan pasaran dalam negara dan menembusi pasaran eksport.

Ia juga turut berperanan mengenal pasti rakan strategik luar negara dalam tempoh terdekat.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI, hari ini, pasukan petugas terbabit tidak akan terlibat dalam operasi harian Proton.

Pasukan tersebut akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan dianggotai wakil swasta dan kerajaan.

Tiga wakil kerajaan berkenaan adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Datuk Nik Rahmat Nik Taib, Setiausaha Bahagian Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Dr. Yusof Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi, Datuk Yogeesvaran Kumaraguru,

Manakala tiga wakil swasta adalah Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony House Berhad, Tan Sri Azman Yahya, Ketua Pengarah Eksekutif, Celcom-Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank, Datuk Hamirullah Borhan.