KUALA LUMPUR: Batik Air menyambung semula penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Sydney, pasaran tradisional yang kukuh bagi perdagangan pengguna dengan Malaysia mulai 12 Disember 2022, melalui Denpasar, Bali.

Penerbangan itu akan dikendalikan oleh pesawat B737-8 serba baharu.

Penerbangan OD171 akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setiap hari pada pukul 5 petang dan tiba di Bali pada 8.10 malam.

Selepas masa transit selama satu jam, penerbangan akan berlepas dari Bali pada 9.10 malam dan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney Kingsford Smith pada 6.15 pagi.

Penerbangan pergi balik, dikendalikan sebagai penerbangan OD172 akan berlepas dari Sydney pada 7.15 pagi dan akan tiba di Bali pada 10.35 pagi. Penerbangan itu kemudiannya akan berlepas dari Bali pada 11.35 pagi dan akan tiba di KLIA pada 2.45 petang.

Tambang promosi dari Kuala Lumpur ke Sydney adalah daripada RM2,359 untuk kelas ekonomi, manakala untuk penerbangan dari Bali ke Sydney tambang kelas ekonomi promosi sehala ialah IDR3,936,750.

Selain itu, tambang promosi kelas ekonomi dari Sydney ke Kuala Lumpur bermula dari AUD$509. Manakala, untuk penerbangan dari Sydney ke Bali, tambang kelas ekonomi sehala promosi bermula dari AUD$389. Semua tambang adalah termasuk elaun bagasi 20kg. Tiket kini tersedia untuk tempahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pihaknya teruja untuk melancarkan semula perkhidmatan ke Sydney.

Beliau berkata, ia juga mewakili komitmen Batik Air untuk terus mengembangkan jangkauan rangkaian kami dan menyediakan pelanggan kami pengalaman perjalanan yang lebih lancar.

"Sebelum COVID-19, ramai rakyat Malaysia melancong ke Australia untuk urusan perniagaan, bercuti dan melanjutkan pelajaran, begitu juga sebaliknya. Penyambungan semula aliran rakyat kepada rakyat ini akan meningkatkan hubungan dua hala kami yang erat dan cemerlang.

"Penutupan sempadan Australia amat mencabar bagi beribu-ribu pelajar Malaysia yang belajar di Australia. Sebahagian daripada pelajar yang pulang ke Malaysia ini tidak dapat kembali ke Australia untuk menyambung pelajaran mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com