Ustaz lakukan amang seksual ke atas pelajar lelaki disiasat

Mohammad Lazim berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada kanak-kanak lelaki itu pada pukul 4.16 petang, Selasa lalu. - Gambar/ BERNAMA
AMPANG JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang guru sebuah sekolah rendah agama di Kampung Pandan, di sini, yang dipercayai melakukan amang seksual terhadap pelajarnya berusia 11 tahun.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada kanak-kanak lelaki itu pada pukul 4.16 petang, Selasa lalu.
Menurutnya, suspek berusia lingkungan 40-an itu kini masih belum ditahan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mohammad Lazim berkata, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Beliau turut memaklumkan setakat ini, polis sudah merakam keterangan tujuh individu termasuk mangsa bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


