Bekalan mata wang asing biasa adalah mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi permintaan semasa, kata Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB).

"MAMSB ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa bekalan mata wang asing adalah mencukupi dalam pasaran bagi memenuhi permintaan semasa dan juga mencukupi untuk memenuhi permintaan musim Haji," kata persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, MAMSB turut menasihatkan orang ramai supaya menukar mata wang dengan pengurup wang berlesen di Malaysia sebelum ke luar negara.

Menurut persatuan itu, kini terdapat lebih 350 pengurup wang berlesen di lebih 1,000 cawangan di seluruh Malaysia yang menyediakan perkhidmatan penukaran mata wang.

MAMSB juga memaklumkan, orang ramai yang berdepan kesukaran untuk membeli mata wang yang diperlukan boleh menghubungi persatuan tersebut di talian 03-7722 5808.

Untuk maklumat lanjut juga, orang ramai diminta melayari laman web mereka di www.mamsb.org.my.