WASHINGTON DC: Kemerosotan mendadak populariti Presiden Donald Trump ke paras terendah dalam sejarah, kemarahan rakyat terhadap lonjakan kos sara hidup serta pertembungan sengit dasar imigresen kini mencorakkan Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) pada 3 November depan.
Memetik laporan agensi berita Reuters, saingan sengit berkenaan bakal menentukan sama ada Parti Republikan berupaya mempertahankan penguasaan majoriti tipis di Kongres atau Parti Demokrat berjaya merampas kembali kedua-dua dewan perundangan untuk menyekat pentadbiran Rumah Putih.
Ketika ini, Republikan memegang kelebihan tipis di Dewan Perwakilan dan Senat, manakala Demokrat hanya memerlukan pertambahan bersih empat kerusi bagi menguasai semula setiap dewan berkenaan.
Faktor Trump sendiri kini menjadi tumpuan kempen selepas kadar sokongan terhadap beliau jatuh ke paras 31 peratus iaitu rekod terendah pernah dicatatkan, menurut dapatan tinjauan pendapat terbaharu Reuters/Ipsos.
Walaupun namanya tiada dalam kertas undi, Trump secara terbuka menggesa para penyokongnya menganggap beliau bertanding secara langsung menerusi siri rapat umum di Florida, Iowa, Michigan dan Texas.
Langkah berkenaan bagaimanapun dilihat boleh mengundang risiko politik apabila ia berpotensi merangsang gelombang penolakan dalam kalangan pengundi Demokrat dan pengundi atas pagar yang tidak berpuas hati dengan prestasinya.
Isu kemampuan hidup pula menjadi kebimbangan nombor satu rakyat AS, dengan separuh daripada pengundi berdaftar menyifatkan kos harian sebagai faktor paling penting yang menentukan pilihan mereka di pusat pengundian.
Sentimen pengundi terjejas teruk susulan kenaikan purata harga petrol nasional kepada AS$4.28 segelen dan diesel mencecah AS$6.32, kesan lonjakan ketegangan ketenteraan antara AS dan Israel terhadap sasaran di Iran sejak Februari lalu.
Kemarahan rakyat turut disemarakkan oleh tindakan Republikan meluluskan pemotongan perbelanjaan kira-kira AS$1 trilion terhadap program insurans kesihatan Medicaid untuk golongan berpendapatan rendah demi membiayai pelanjutan pelepasan cukai.
Dari sudut imigresen, walaupun data Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) merekodkan penurunan 95 peratus tangkapan di sempadan barat daya, tindakan agresif agensi penguatkuasaan persekutuan terus mengundang polemik perundangan yang tajam.
Siri insiden pertembungan maut melibatkan ejen persekutuan termasuk kematian dua warganegara AS di Minnesota, selain serbuan pihak berkuasa ke atas kediaman Ahli Kongres Demokrat, Ilhan Omar di Washington mencetuskan bantahan hebat daripada kumpulan hak sivil.
Kebuntuan politik itu akhirnya memaksa Republikan meluluskan peruntukan bernilai AS$70 bilion secara unilateral bagi mendanai agensi Imigresen dan Kastam (ICE) serta rondaan sempadan, sekali gus memperkukuh garisan pertembungan ideologi menjelang hari pembuangan undi.