KUALA LUMPUR: Isi rumah mempunyai pendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak menerusi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa pembaharuan diambil kira bagi memastikan golongan yang benar-benar terkesan mendapat manfaat di bawah program berkenaan.

“Kerajaan telah menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1. Beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan mendapat manfaat yang lebih daripada STR.

“Antaranya golongan isi rumah mempunyai pendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.

“Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.


IKUTI INTIPATI BELANJAWAN 2023 DI SINI

Anwar berkata, sumbangan berkenaan akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600 kepada mereka.

Katanya, ia bermakna keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.

“Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 8.7 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion,” ujarnya.

Anwar menjelaskan walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40, namun ia turut mengambil kira bilangan penerima dan sumbangan berkenaan telah memanfaatkan lebih 60 peratus daripada golongan rakyat dewasa di negara ini.

Selan itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah kepada golongan belia.

“Akhir sekali tidak dilupakan, kepada dua juta belia berumur 18 hingga 20 tahun, kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 dengan peruntukan RM400 juta,” jelasnya.