Pembangunan tidak boleh hanya tumpu bandar, lokasi ikonik - Ab Rauf

Ab Rauf berkata kerajaan negeri telah merancang pelbagai pembangunan di Masjid Tanah untuk masa hadapan lebih baik kepada anak tempatan di situ. - Foto fail/BERNAMA
ALOR GAJAH: Pembangunan tidak boleh hanya tertumpu di bandar dan lokasi ikonik sebaliknya kawasan kampung seperti Masjid Tanah mesti diberi peluang untuk maju seiring zaman tanpa meninggalkan akar dan identitinya.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri telah merancang pelbagai pembangunan di Masjid Tanah untuk masa hadapan lebih baik kepada anak tempatan di situ.
Beliau berkata antaranya ialah projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Jambatan Melaka-Dumai dan laluan baharu Masjid Tanah-Sungai Udang yang menghubungkan Lebuh Raya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh ke bandar Melaka.
"Bagaimanapun, agenda ini memerlukan kerajaan dan suasana politik yang stabil, jadi kita sama-sama perlu melihat apa yang perlu dilakukan untuk diwariskan kepada generasi akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di sini pada Ahad.
Ab Rauf berkata kekuatan sebenar pembangunan dan kesejahteraan juga bermula daripada kampung yang bersatu padu dan rakyat yang saling menjaga antara satu sama lain.
Justeru beliau berkata penganjuran karnival itu bertujuan supaya generasi muda kembali menghargai asal usul, berbangga menjadi anak kampung dan melihat kampung sebagai warisan bernilai yang membina jati diri serta menjadi sumber inspirasi masa depan.
Ab Rauf berkata karnival itu sebahagian daripada agenda besar kerajaan negeri menjadikan Masjid Tanah simbol perpaduan, kemajuan serta kesejahteraan rakyat yang seimbang antara warisan dan arus pembangunan.
Beliau berkata selain itu, penganjurannya juga bertujuan agar generasi muda hari ini kembali menghargai asal mereka, berbangga menjadi anak kampung dan melihat kampung sebagai warisan bernilai yang membina jati diri serta menjadi sumber inspirasi masa depan.
Beliau berkata lebih 40,000 pengunjung dan peserta terlibat dalam penganjuran karnival melibatkan lebih 30 pengisian acara atau aktiviti kerohanian, sukan, keilmuan dan bakat seni dari 18 Dis hingga hari ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian enam anugerah kepada anak jati Masjid Tanah yang berjaya dan menyumbang kepada pembangunan kawasan itu antaranya Pengarah Urusan Hospital Pakar Salam Datuk Zainal Bachik bagi kategori Tokoh Keusahawanan.
Penerima lain ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal (Tokoh Belia dan Sukan), Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Seri Azmar Talib (Tokoh Akademik dan Profesional) serta bekas Ahli Parlimen Masjid Tanah Tan Sri Abu Seman Yusop (Tokoh Khas).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


