KUALA LUMPUR : Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion sebagai usaha untuk memartabatkan syiar Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Jumaat, berkata kerajaan akan memberikan sumbangan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, noja, guru kelas agama dan fardu ain (KAFA), dan sebagainya.

“Kerajaan akan menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta.

“Ini termasuk memberikan sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir. Seramai 70,000 orang akan menerima sumbangan ini melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.

“Saya juga faham peranan besar yang dimainkan oleh imam, bilal, guru-guru dalam mengimarahkan fungsi masjid,” katanya.

 

Tegas Anwar, pentadbiran dalam membangunkan syiar Islam perlu menjadi contoh kepada semua jabatan termasuk kementerian kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri menekankan, setiap institusi Islam di negara ini perlu menjadi medan bagi menyampaikan dakwah sebenar mengenai Islam.

“Pengurusan mereka harus lebih cekap dan menjadi contoh bagi semua jabatan dan kementerian lain dan gedung ini mesti menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam,” katanya lagi.


IKUTI INTIPATI BELANJAWAN 2023 DI SINI