KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan beberapa perolehan aset baharu dengan memfokuskan pemerkasaan kedaulatan tanah air menerusi peruntukan RM19.7 bilion yang diterima kementerian itu dalam Belanjawan 2024.

Mindef dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan kementerian itu adalah mengekalkan tahap keupayaan dan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Mindef dan ATM akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu antaranya TDM bakal memperoleh 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle, enam Hover Craft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis termasuk 45 unit bot pelbagai jenis.

"TLDM akan meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) dan kerja-kerja memasang pulih dua aset kapal selam manakala TUDM bakal menerima perolehan 12 helikopter baharu," menurut kenyataan itu.

Kerajaan memperuntukkan RM19.7 bilion untuk Mindef dalam Belanjawan 2024 berbanding RM17.74 bilion tahun lepas, peningkatan kira-kira 11.21 peratus.

Mengenai keselamatan persempadanan negara, Mindef memaklumkan keselamatan persempadanan negara terus dipertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk negara dengan pembinaan tujuh Pos Imbangan antaranya di Melikin dan Pa' Daleh, Sarawak.

Menurut Mindef, menerusi belanjawan itu kesejahteraan anggota ATM veteran terus dipelihara dengan beberapa peruntukan disediakan untuk golongan itu termasuk RM400 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera serta RM20 juta untuk menaik taraf sistem pembetungan kem TDM secara berfasa.

"Bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada 216,758 veteran ATM berpencen dan tidak berpencen," menurut kenyataan itu.

Selain itu, veteran ATM terus diperkasa menerusi inisiatif Protege-Ready To Work (Protege-RTW) yang merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak kerajaan.

"Veteran ATM akan mendapat manfaat melalui setiap program kerajaan bahawa kuota khusus akan diberikan seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan bagi melindungi kebajikan dan sosioekonomi veteran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang dengan melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, Polis Diraja Malaysia, Orang Asli dan komuniti setempat.

Dalam pada itu, Hospital Angkatan Tentera akan bekerjasama dengan hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

-- BERNAMA