KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengekalkan kedudukannya sebagai megahub antarabangsa keempat dengan jaringan penerbangan paling luas di dunia serta menduduki tempat pertama dalam Indeks Megahub Tambang Rendah OAG 2026, menurut AirAsia.
Menurut laporan Megahub terkini OAG, KLIA turut mengekalkan kedudukan sebagai megahub dengan jaringan penerbangan paling luas di Asia Pasifik, dengan AirAsia dan syarikat penerbangan lain menghubungkan penumpang ke 154 destinasi serta menawarkan hampir 15,000 kemungkinan sambungan penerbangan tambang rendah.
Laporan itu turut menamakan AirAsia sebagai syarikat penerbangan utama di KLIA, dengan 34 peratus daripada keseluruhan penerbangan di lapangan terbang berkenaan dikendalikan oleh syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bo Lingam berkata jaringan luas dan kekerapan penerbangan AirAsia memainkan peranan penting dalam menghubungkan Kuala Lumpur dengan destinasi di seluruh ASEAN, Asia, Australia dan rantau lain.
“Pencapaian berterusan Kuala Lumpur mencerminkan kekuatan rangkaian yang dibangunkan AirAsia dari Malaysia sejak bertahun-tahun lalu.
“Ini juga melambangkan kerjasama erat kami dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam menyokong dan mengembangkan ekosistem penerbangan negara,” katanya.
Lingam berkata meskipun industri penerbangan berdepan pelbagai cabaran, AirAsia kekal memberi tumpuan untuk memperkukuh perhubungan udara serantau dan menjadikan perjalanan lebih mudah diakses.
“Rangkaian luas kami akan terus memainkan peranan penting dalam merancakkan pelancongan Malaysia dan ASEAN, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Perhubungan ini juga memudahkan perdagangan, perniagaan dan mobiliti serantau, sekali gus meningkatkan limpahan ekonomi serta memperkukuh peranan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama ke ASEAN dan rantau lain,” katanya.
-- BERNAMA