KUALA LUMPUR: Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) amat besar sebagai nadi penggerak ekonomi negara dengan nilai pelaburan terkumpul GLC dianggarkan mencecah sebanyak RM130 bilion tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata antara tumpuan pelaburan termasuk pelaburan langsung domestik, modal teroka dalam syarikat pemula berinovasi tinggi dan pertumbuhan hijau demi ketahanan iklim.

"Tambahan lagi, GLIC dan GLC juga telah meningkatkan sumbangan mereka dalam pelaksanaan pelbagai program demi kebajikan rakyat dan juga negara iaitu daripada RM250 juta pada 2023 kepada RM300 juta pada 2024," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 yang bertemakan 'Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, bagi menterjemah hasrat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Anwar berkata kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, institusi kewangan juga menyediakan dana pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM200 bilion untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon, kata Anwar.

Bagi mencapai sasaran 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050, usaha menambah baik pelaksanaan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) diteruskan sebagai salah satu kaedah pelaksanaan model Akses Pihak Ketiga (TPA).

"Kerajaan akan terus meneroka model TPA dan membangunkan kaedah pelaksanaan yang sesuai untuk memacu pelaburan dalam kapasiti TBB," kata Anwar.

-- BERNAMA