MADINAH: Madinah terus membantu urusan kepulangan jemaah haji ke tanah air masing-masing selepas tamatnya musim haji tahun ini menerusi ekosistem perkhidmatan bersepadu yang mempermudah urusan ibadah mereka, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Pada masa yang sama, kota suci ini turut mula menyambut ketibaan jemaah umrah yang datang untuk beribadah di Masjid Nabawi.
Pekarangan Masjid Nabawi dan kawasan pusat di sekelilingnya menyaksikan pergerakan jemaah yang lancar, selaras dengan pelan operasi yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan jemaah haji dan umrah.
Proses pelepasan jemaah haji yang bertolak pulang dikendalikan secara cekap di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz dan laluan darat. Langkah itu berjalan serentak dengan penyambutan jemaah umrah yang tiba dari dalam dan luar Arab Saudi bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan operasi, bimbingan, serta kesihatan berada pada tahap tertinggi.
Sepanjang berada di Madinah, jemaah haji dan umrah turut mengambil peluang untuk menziarahi Masjid Qiblatain dan Masjid Quba.
Sementara itu, cawangan wilayah Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan sedang melaksanakan program kesedaran serta perkhidmatan lapangan di 19 lokasi bagi memperkaya pengalaman para pengunjung selain meningkatkan kefahaman agama mereka.
-- BERNAMA-SPA