KUALA LUMPUR: Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Jun melakar sejarah penting apabila menarik kehadiran 510,151 pengunjung sepanjang tiga hari diadakan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan luar biasa itu membuktikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin diyakini sebagai laluan utama pembinaan bakat serta kerjaya masa hadapan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan tahun ini berjaya menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu ekosistem yang memperkukuh hubungan antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
“Sebanyak 117 institusi TVET dan industri menyertai Hab Pameran dan Kolaborasi Industri TVET manakala 30 institusi TVET dari China mengambil bahagian dalam Pameran Institusi TVET China.
“Selain itu, 28 majikan menyertai Karnival Kerjaya TVET dan 39 usahawan TVET mempamerkan potensi serta kejayaan mereka melalui Hab Usahawan TVET,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata kemuncak sambutan tahun ini ialah pelancaran TVET 2.0 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandakan anjakan besar dalam pembangunan bakat negara melalui sistem latihan yang lebih responsif, fleksibel dan berpaksikan keperluan industri.
Beliau berkata TVET 2.0 bukan sekadar penambahbaikan dasar, tetapi menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia memiliki tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi baharu, memenuhi keperluan industri masa hadapan dan bersaing pada peringkat global.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan menyediakan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan awal TVET 2.0.
“Langkah ini akan mempercepat usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata penganjuran The 3rd Malaysia-China International Industry-Education Cooperation Forum dan 5th Malaysia-China Vocational Education Fair 2026 (MCIEF 2026) membuka peluang lebih luas kepada warga TVET negara.
Beliau berkata melalui kerjasama strategik Malaysia-China, sebanyak 1,000 tempat biasiswa bernilai hampir RM18 juta, 2,000 peluang latihan antarabangsa bernilai lebih RM10 juta serta sumbangan peralatan latihan TVET bernilai hampir RM2 juta telah diumumkan untuk manfaat pelajar, graduan dan tenaga pengajar TVET negara.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata prestasi TVET negara juga terus menunjukkan perkembangan positif apabila kadar kebolehpasaran lepasan TVET meningkat kepada 95.9 peratus pada 2025 berbanding 92.5 peratus pada 2022.
Beliau berkata institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mencatat kadar kebolehpasaran sebanyak 98.9 peratus manakala institusi TVET di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mencapai kadar 100 peratus.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan TVET bukan lagi alternatif, tetapi telah berkembang menjadi antara agenda nasional paling penting dalam membangunkan modal insan Malaysia.
“Saya percaya kejayaan Hari TVET Negara 2026 akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan TVET 2.0 yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi demi melahirkan bakat masa hadapan yang kompeten serta berdaya saing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sambutan itu dalam usaha memperkasakan bakat negara dan membina masa depan Malaysia yang lebih maju serta makmur.
-- BERNAMA