KUALA LUMPUR: Bermula Januari tahun depan, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 ringgit kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

Anwar menegaskan, beliau tidak akan mengizinkan mana-mana mahasiswa daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

"Sekiranya pelajar itu menghadapi masalah (kewangan) universiti berkenaan mesti tetap mendaftar dan memaklumkan kepada kementerian dan kerajaan," ujarnya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan
selepas pendaftaran subjek.

Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti katanya hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.

Sehubungan itu, beliau meminta Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain supaya  berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran.