BISNES
Belanjawan Johor 2026: RM170 juta dicadang untuk pendidikan dan penerangan

Perkara itu dibincangkan dalam sesi ‘Budget Challenge’ Belanjawan Johor 2026 bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Saujana, di sini baru-baru ini. - Foto FB Aznan Tamin
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor akan mencadangkan peruntukan sebanyak RM170 juta bagi Portfolio Pendidikan dan Penerangan dalam Belanjawan Johor 2026, meliputi 47 inisiatif utama yang bakal memberi manfaat kepada rakyat khususnya pelajar, guru serta mahasiswa negeri ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Johor cadang peruntukan RM170 juta untuk Portfolio Pendidikan dan Penerangan dalam Belanjawan Johor 2026, melibatkan 47 inisiatif utama untuk pelajar, guru dan mahasiswa.
- Bajet ini bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan, akses maklumat, serta memperkukuh kerjasama strategik dengan portfolio lain bagi pembangunan inklusif negeri.
- Sesi Budget Challenge bersama MB Johor Onn Hafiz Ghazi turut libatkan agensi seperti JPN Johor, Yayasan Pelajaran Johor, JTDC dan Media Digital Johor untuk penyelarasan hala tuju bajet.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin berkata, peruntukan itu disusun rapi bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi impak kepada kumpulan sasar.
“Anggaran bajet ini dirangka bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkukuh akses maklumat kepada rakyat Johor. Ia melibatkan sokongan kepada sekolah, guru, murid serta mahasiswa dalam pelbagai bentuk,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan beberapa inisiatif akan diperhalusi semula supaya pelaksanaannya lebih berimpak besar serta bersifat inklusif terhadap pembangunan negeri.
“Pendekatan kerjasama strategik dengan portfolio lain akan diperkukuhkan. Kita mahu setiap inisiatif bukan sahaja menambah baik sistem pendidikan dan penerangan, tetapi turut menyumbang kepada agenda pembangunan menyeluruh Johor,” ujarnya.
Dalam sesi itu, Onn Hafiz turut memberi perhatian serius terhadap cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai agensi dan jabatan di bawah portfolio berkenaan.
“Saya amat menghargai keprihatinan Menteri Besar yang sentiasa memberi ruang untuk kami membentangkan cadangan penting. Kesungguhan beliau membuktikan komitmen kerajaan negeri memastikan bajet berorientasikan rakyat,” jelasnya lagi.
Antara pihak yang turut serta dalam sesi ini ialah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Yayasan Pelajaran Johor, Johor Talent Development Council (JTDC), Kumpulan Pendidikan YPJ, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Jabatan Penerangan Negeri Johor serta Media Digital Johor.
Kerajaan negeri berharap setiap perancangan yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2026 dapat diterjemahkan dengan pelaksanaan yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Johor pada tahun hadapan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami