KUALA LUMPUR : Sebanyak RM190.73 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2022 bagi mewujudkan persekitaran hijau dan meluaskan pembangunan lestari di negeri itu.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ia merangkumi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air, pemulihan hutan serta pembangunan lembangan sungai.

"Justeru, untuk tahun 2022, sejumlah RM190.73 juta diperuntukkan bagi kesemua inisiatif ke arah mewujudkan persekitaran hijau dan meluaskan lagi pembangunan lestari di negeri Selangor," jelasnya.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air di negeri berkenaan. 

"Sehingga kini, pihak Air Selangor telah berjaya menurunkan kadar NRW (Air Tidak Berhasil) daripada 33.2 % pada tahun 2017 kepada 28.6% pada tahun ini.

"Sasaran Air Selangor seterusnya adalah penurunan NRW kepada 25% pada tahun 2025. Bagi merealisasikan sasaran ini, kerja-kerja penggantian paip utama dianggarkan melibatkan sepanjang 6,000 km di seluruh Negeri Selangor termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Air Selangor juga akan mempertingkatkan perkhidmatannya adalah dengan membangunkan Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa 2 serta Loji Rawatan Air Sungai Rasau yang dijangka dapat meningkatkan margin bekalan air di Negeri Selangor kepada sekurang-kurangnya 15 peratus menjelang tahun 2030," jelasnya lagi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Selain itu, sebanyak RM15.6 juta diperuntukkan bagi Pembangunan Lembangan Sungai, RM10 juta Pemulihan Hutan Rosot, RM15 juta bagi Kolam Takungan Banjir Rawang Intergrated, RM20 juta bagi Kolam Takungan Banjir Kampung Budiman.

Manakala sebanyak RM9.25 juta turut diperuntukkan bagi Pembangunan Tebatan Banjir, RM9.2 juta Pembangunan Sistem Saliran, RM5.2 juta Pembangunan Pesisir Pantai serta RM800,000 bagi Program Penanaman Pokok.