KUALA LUMPUR:Menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2020 pada tengah hari ini.

Maybank Investment Bank Berhad jangka ekonomi Malaysia menguncup 5.4 peratus pada 2020, berdasarkan unjuran awal syarikat itu.

Dalam masa yang sama, AmBank Research menjangka ekonomi Malaysia menguncup sekitar 5.5 peratus pada tahun 2020.

Ini berbanding 4.3 peratus pada 2019 berikutan petunjuk ekonomi yang lemah susulan krisis pandemik COVID-19.

AmBank Research turut menganggarkan KDNK Malaysia berlegar antara -3.2 peratus dan -3.5 peratus pada suku keempat 2020.

Menurut laporan Bernama, ini disebabkan pengeluaran perindustrian dan eksport yang lemah serta kadar pengangguran yang tinggi dalam suku berkenaan.

Untuk suku keempat 2020, pengeluaran perindustrian dan eksport Malaysia masing-masing pada -0.3 peratus dan 5.2 peratus sementara kadar pengangguran pada 4.8 peratus.

Ia menambah prestasi perindustrian bercampur-campur dan data menunjukkan pertumbuhan tahunan enam bulan yang negatif terutamanya disebabkan oleh impak daripada pandemik COVID-19 dan langkah-langkah sekatan yang diambil.

Sementara itu, langkah-langkah sekatan dalam suku keempat 2020 menyaksikan jumlah pengangguran meningkat kepada 772,900 berbanding 737,500 pada akhir suku ketiga 2020.

Ram Rating Services Bhd pula menjangka ekonomi Malaysia pada suku keempat menguncup 2.8 peratus susulan langkah sekatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Agensi penarafan kredit itu menjelaskan suku keempat akan menjadi sukuan ketiga ekonomi negara catatkan penguncupan pada 2020.

Ia jangka ekonomi malaysia menguncup 5.4 peratus pada 2020.

Menurut Ram, penguncupan pada suku keempat 2020 dijangka lebih ketara berbanding dengan suku ketiga 2020.

Agensi itu turut menjangkakan semua sektor lain merekodkan penguncupan dengan jualan runcit antara sektor yang terjejas paling teruk dengan kadar penguncupan 2.9 peratus pada suku keempat 2020.

Ia menjelaskan ekonomi domestik dijangka akan menghadapi cabaran seterusnya pada suku pertama 2021 berikutan penguatkuasaan PKP 2.0.