Berjaya Assets Bhd (BAssets) menjual 1.41 peratus kepentingan ekuiti dalam 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (SEM) kepada True Ascend Sdn Bhd (TASB) dengan harga RM25 juta secara tunai atau RM1.60 sesaham SEM.

TASB adalah syarikat pegangan pelaburan yang dikuasai Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, yang juga merupakan pemegang saham utama BAssets dan SEM.

BAssets, dalam maklumannya kepada Bursa Malysia pada Jumaat berkata, penjualan 15.625 juta saham SEM itu, yang dipegang oleh anak syarikat milik penuhnya Sublime Cartel Sdn Bhd, mengurangkan jumlah pegangannya dalam pengendali kedai serbaneka tersebut kepada kira-kira 4.44 peratus.

Harga RM1.60 sesaham SEM itu mewakili premium kira-kira 7.38 peratus berdasarkan kepada harga pasaran purata wajaran volum 5 hari sehingga dan termasuk 8 Mac pada RM1.49 sesaham.

BAssets yang mencatatkan kerugian berkata susulan penjualan itu kumpulan tersebut dijangka meraih keuntungan sebanyak RM1.25 juta.

Hasil kasar daripada penjualan itu akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan, kata syarikat itu. -- Bernama