KUALA LUMPUR: BJAK Sdn Bhd (BJAK) mengesahkan pembaharuan cukai jualan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) masih beroperasi seperti biasa dan ia adalah perkhidmatan pilihan bagi pelanggannya.

Ini meski pun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam memaklumkan platform tersebut tidak pernah mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan.

Sehubungan itu, JPJ memandang serius kandungan iklan BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan LKM secara online yang ditawarkan kepada orang awam termasuklah program pemberian cukai jalan secara percuma.

Malah JPJ memaklumkan terdapat aduan daripada orang awam berhubung caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan BJAK di samping isu tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.

Dalam kenyataan medianya, BJAK mengakui isu-isu yang dibangkitkan oleh JPJ dan sedang aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu meningkatkan pengalaman bagi semua pemilik kenderaan di Malaysia.

"Perlu diperhatikan bahawa kempen cukai jalan percuma BJAK adalah sebahagian daripada inisiatif swasta yang bertujuan untuk meningkatkan nilai pelanggan dan tidak berkaitan dengan sebarang mandat kerajaan," kata syarikat itu.

Menurut penyedia perbandingan insurans dalam talian itu, perkhidmatan pembaharuan cukai jalan BJAK kini ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang caj.

Katanya, ia sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjadikan pembaharuan lebih mudah dan berkesan dari segi kos bagi pelanggan.

BJAK juga menjelaskan perkhidmatan utamanya adalah perbandingan dan pembaharuan insurans kenderaan bermotor, disertakan dengan perkhidmatan VIP yang khas untuk pelanggannya.

"Platform lain biasanya mengenakan bayaran yang berkisar dari RM3 hingga RM11 untuk perkhidmatan pembaharuan, BJAK telah menjadikan perkhidmatan pilihan ini percuma untuk semua pelanggan.

"Syarikat ini sebelum ini menanggung sebarang caj kepada pembekal rasmi JPJ," katanya.

BJAK dalam pada itu tetap komited untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan perkhidmatan yang luar biasa sambil mengekalkan standard pematuhan yang tertinggi.

"BJAK mengekalkan ulasan tertinggi dalam industri, dengan lebih daripada 250,000 ulasan di Google. Semua komen diberi jawapan dengan liputan 100%.

"BJAK mempunyai matlamat penyelesaian pada hari yang sama untuk semua pertanyaan atau maklum balas oleh pelanggan," ujarnya.- DagangNews.com