WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) akan mengeluarkan visa kepada calon presiden Brazil yang tewas, Flavio Bolsonaro serta keluarganya bagi membolehkan mereka memasuki AS, menurut seorang pegawai kanan jabatan itu pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Pegawai berkenaan mengesahkan keputusan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan daripada pihak Anadolu.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengenai Bolsonaro telah meninggalkan Brazil menuju ke AS walaupun dikenakan larangan perjalanan oleh mahkamah.
Pihak berkuasa Brazil masih belum mengesahkan pemergiannya, manakala laporan bercanggah muncul mengenai keberadaannya serta kemungkinan beliau cuba melakukan perjalanan melalui Argentina.
Bolsonaro, yang menafikan sebarang salah laku, dilaporkan sedang disiasat berhubung kes melibatkan dakwaan pengubahan wang haram dan pelanggaran peraturan mata wang, selain pembiayaan sebuah filem biografi mengenai bapanya, bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro.
-- BERNAMA-ANADOLU