SHAH ALAM: Bank Negara Malaysia (BNM) melalui platform Risikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTIP) mengeluarkan amaran kemungkinan serangan siber terhadap institusi kewangan dalam negara.

BNM dalam satu kenyataan berkata, notis dikeluarkan membolehkan organisasi kewangan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

Menurutnya, ia bagi melindungi sistem dan mengelakkan sebarang kemungkinan gangguan perkhidmatan.

“BNM dan industri kewangan sentiasa berkongsi maklumat mengenai kemungkinan ancaman yang berlaku dalam ruang siber.

“FinTIP sentiasa memantau landskap siber dan akan memaklumkan tentang kemungkinan ancaman baharu termasuk peningkatan aktiviti penggodaman,” katanya pada Jumaat.

BNM mengulas mengenai notis Financial Sector Cyber Threat Intelligence Platform (FinTIP) yang tersebar menerusi media sosial berhubung perkara tersebut.

Dalam notis yang tular itu, terdapat 10 kumpulan penggodam pro-Israel yang dikesan berkemungkinan melakukan serangan balas dendam susulan tindakan penggodam Malaysia, DragonForce melancarkan Operasi Badai Al-Aqsa baru-baru ini.

Kumpulan berkenaan ialah Team UCC Operations or Unknown Cyber Cult, Kerala Cyber Xtractor, SilentOne, Indian Cyber Force dan Garuna Ops.

Selain itu, Israel Cyber Defence, Termux Israel, Anonymiss, Gaza Parking Lot Crew dan Silencer of Evil.
Tambah BNM, notis FinTIP merupakan pemberitahuan untuk berjaga-jaga yang dikeluarkan secara rutin kepada institusi kewangan dan rakan kerjasama mereka yang berkaitan.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian