KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Suhaimi Ali sebagai Penolong Gabenor berkuat kuasa 1 April 2022, kata bank pusat dalam satu kenyataan.

Suhaimi akan mengalas portfolio Jabatan Pembangunan dan Inovasi Kewangan, Jabatan Sistem Kewangan Islam dan Jabatan Rangkuman Kewangan.

Suhaimi mula berkhidmat di BNM pada tahun 1998 selepas menamatkan pengajian di University of Notre Dame, Amerika Syarikat.

Sepanjang kerjaya di BNM, beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan, termasuk pembangunan sektor kewangan, pengawalan dan penyeliaan, perancangan strategik, amalan pasaran, perundingan antarabangsa dan perkhidmatan IT serta Pejabat Gabenor.

BNM juga mengumumkan persaraan Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz yang berkuat kuasa 1 April 2022.

Sejak menyertai BNM pada tahun 1988, Norzila memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan memodenkan operasi pelaburan dan fungsi pasaran kewangan BNM, serta memacu usaha BNM untuk memperdalam pasaran kewangan Malaysia.

Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid akan mengambil alih portfolio yang dipegang oleh Norzila, iaitu terdiri daripada Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan dan Jabatan Dasar Pertukaran Asing.

Beliau juga akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Pengurusan Data dan Statistik.

Portfolio lama Adnan akan diambil alih Suhaimi. 

“Bagi pihak BNM, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan Norzila yang besar kepada BNM dan negara sepanjang 35 tahun perkhidmatan beliau.

"Norzila merupakan salah seorang daripada barisan kepimpinan BNM yang banyak berjasa. Khidmat dan kepimpinan beliau yang penuh dedikasi telah membantu BNM mengharungi dan bertindak balas terhadap pelbagai cabaran, antaranya krisis kewangan Asia dan global serta pandemik.

Kami benar-benar menghargai khidmat beliau. Saya juga berkeyakinan pelantikan Suhaimi akan memperkukuh keupayaan BNM untuk mencapai mandatnya” kata Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.