KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) sebagai kadar rujukan alternatif (ARR) yang baharu bagi Malaysia.

Pada peringkat global, ARR diperkenalkan untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan sebagai sebahagian daripada peralihan kepada kadar berasaskan urus niaga, sejajar dengan pembaharuan Kadar Tawaran Antara Bank London (LIBOR) selepas krisis kewangan global.

ARR diperkenalkan bertujuan untuk mempermudah penggunaan kadar penanda aras yang lebih mantap dan berdasarkan urus niaga dalam pasaran kewangan yang cair dan aktif.

"Di Malaysia, MYOR akan beroperasi selari dengan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) sedia ada dengan kajian secara berkala untuk memastikan kadar penanda aras kewangan kekal mantap dan mencerminkan pasaran asas yang aktif," kata BNM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pendekatan berbilang kadar itu disokong oleh Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) dan diterima pakai oleh kebanyakan negara lain, katanya.

BNM berkata ketersediaan dua kadar penanda aras kewangan akan memberikan fleksibiliti kepada peserta pasaran untuk memilih kadar yang paling sesuai dengan keperluan mereka dan membantu membangunkan produk berasaskan MYOR.

Penawaran produk berasaskan MYOR akan menyediakan instrumen lindung nilai yang lebih pelbagai bagi menyokong strategi pengurusan risiko tambahan, katanya.

Bersempena dengan pelancaran MYOR, BNM telah menerbitkan Dokumen Dasar MYOR yang memasukkan ciri-ciri utama dan piawaian tadbir urus yang dibangunkan bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC)

MYOR akan ditadbir dan dikira oleh BNM sebagai kadar purata berwajaran jumlah bagi urus niaga ringgit semalaman tanpa cagaran antara bank termasuk operasi monetari semalaman BNM (tidak termasuk kemudahan tersedia), kata BNM.

"MYOR untuk hari bekerja tertentu di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada pukul 10 pagi hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM.

"BNM akan melakukan tinjauan berkala terhadap MYOR bagi memastikan MYOR terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas," katanya.

BNM juga akan menamatkan penerbitan tempoh KLIBOR dua dan 12 bulan, iaitu kadar yang paling kurang dirujuk dalam pasaran untuk kontrak kewangan, pada 1 Januari 2023, kata bank pusat itu.

Tempoh KLIBOR satu, tiga dan enam bulan yang terus mencerminkan pasaran asas yang aktif akan dikaji pada separuh kedua tahun 2022, katanya.

"Sebarang perkembangan daripada kajian tersebut akan dimaklumkan pada masa akan datang, FMC akan melibatkan International Swaps and Derivatives Association (ISDA) untuk memastikan kesinambungan kontrak derivatif KLIBOR sekiranya berlaku penamatan penerbitan KLIBOR secara sementara atau kekal," katanya.

Sementara itu, BNM berkata sebagai sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk terus membangunkan pasaran kewangan Islam, BNM dengan kerjasama FMC dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam (IMTDC) AIBIM-FMAM5 akan membangunkan kadar penanda aras Islam baharu untuk menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (KLIRR) pada separuh pertama tahun 2022.

-- BERNAMA