BNM tetapkan dasar FTFC, elak salah guna kuasa institusi kewangan - MoF

MoF memaklumkan kerajaan memandang serius isu berkaitan amalan penyedia perkhidmatan kewangan, termasuk bank-bank komersial, demi memastikan pengguna kewangan dilayan secara adil - Gambar fail/Wikipedia
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan garis panduan yang jelas menerusi Dokumen Dasar Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan (FTFC) bagi mencegah sebarang penyalahgunaan kuasa oleh institusi kewangan.
Ringkasan AI
- Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan garis panduan melalui Dokumen Dasar Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan (FTFC) untuk mencegah penyalahgunaan kuasa oleh institusi kewangan.
- Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan keperluan agar penyedia perkhidmatan kewangan, termasuk bank-bank komersial, melayan pengguna kewangan dengan adil dan telus, sesuai dengan amalan tingkah laku yang bertanggungjawab dan profesional.
- Bank-bank komersial mempunyai hak untuk menamatkan hubungan perbankan dengan pelanggan berdasarkan terma dan syarat perjanjian akaun, dengan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh BNM serta peruntukan undang-undang berkaitan.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj yang ingin tahu sama ada bank-bank komersial dibenarkan menutup atau menamatkan akaun syarikat yang tidak terlibat dengan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Mengenai isu penutupan akaun individu atau syarikat, MoF menjelaskan bahawa bank-bank komersial mempunyai hak untuk menamatkan hubungan perbankan dengan pelanggan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian akaun.
Bagaimanapun, menurut MoF, tindakan tersebut perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh BNM selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) serta Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA).
"Secara amnya, dalam proses pengendalian akaun bank yang ditutup, institusi kewangan disarankan untuk mengeluarkan notis bertulis kepada pemegang akaun yang terjejas dalam tempoh yang munasabah.
"Notis ini disertakan dengan sebab penutupan akaun, contohnya pelanggaran terma dan syarat perjanjian akaun tanpa mendedahkan maklumat sensitif siasatan," jelas MoF.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


