KUALA LUMPUR: Malaysia komited memainkan peranan konstruktif dalam mendukung usaha mencapai keamanan dan kestabilan serantau, termasuk di Selatan Thailand, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata proses dialog yang berteraskan kepercayaan, persefahaman dan keterbukaan amat penting bagi merintis penyelesaian damai yang menyeluruh dan berkekalan demi kesejahteraan rakyat di Selatan Thailand.
Anwar berkata demikian menerusi hantaran di Facebook malam ini selepas menerima kunjungan hormat Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand, Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal, yang baru-baru ini dilantik ke jawatan itu.
-- BERNAMA