KUALA LUMPUR: Bumi Armada Berhad sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa India bagi membersihkan nama kumpulan itu selepas didakwa terlibat dengan pemberian rasuah melibatkan bekas menteri untuk mendapatkan projek di negara itu.

AmInvestment Bank Research berkata, Biro Siasatan Pusat dan Direktorat Penguatkuasaan India sudah memulakan prosiding terhadap beberapa syarikat termasuk Bumi Armada selain syarikat berkaitan Maxis Communication bersama bekas Menteri Kewangan India, Palaniappan Chidambaram dan anaknya, Karti Chidambaram.

Katanya, pihak pendakwaan mendakwa Palaniappan secara tidak sah memberikan kelulusan kepada Lembaga Penggalakan Pelaburan Asing pada 2006 untuk pelaburan tidak langsung ke dalam Aircel Limited oleh Maxis Communications sebagai quid pro quo sebelum Bumi Armada membayar AS$104,000 (RM445,743) kepada Chess Management Services, yang dikawal Karti antara 2007 hingga 2009.

"Bumi Armada memberi bayangan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu dan mendakwa bayaran yang dibuat kepada Chess adalah untuk perisian penyelesaian IT dan perkhidmatan pengehosan pelayan (server hosting services).

"Kumpulan itu memiliki tempahan kerja sebanyak RM13.4 bilion sehingga 31 Disember 2021 dan 18% adalah daripada kerjasama dengan konglomerat India, Sharpoorji Pallonji," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, pendedahan projek di India menyumbang sebanyak 12% kepada tempahan semasa dan keuntungan sebelum cukai Bumi Armada bagi FY21.

Katanya, buat masa sekarang firma penyelidikan itu tidak bimbang dengan kontrak yang sudah diberikan kepada kumpulan itu menerusi jalinan kerjasama mereka kerana Sharpoorji Pallonji mahupun pengurusannya tidak terlibat dalam kes itu dan pada masa sama tidak menjejaskan pendapatan Bumi Armada.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk Bumi Armada dengan harga RM0.83 sesaham.

"Pada masa sama, kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan buat masa sekarang sehingga pendedahan lanjut tuduhan rasuah terhadap Bumi Armada dan syarikat berkaitan Maxis Communications," katanya. - DagangNews.com