KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan mencatat prestasi bercampur-campur ketika sentimen pasaran lebih perlahan susulan aktiviti pengambilan untung berikutan peningkatan saham-saham bermodal kecil, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.77 mata kepada 1,541.19 daripada paras 1,544.96 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka naik 0.10 mata kepada 1,545.06.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 228 berbanding 186 manakala 311 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,569 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 350.64 juta unit bernilai RM141.86 juta.

Sementara itu Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI ditutup rendah semalam berikutan aktiviti pengambilan keuntungan membabitkan saham-saham wajaran tinggi perbankan terpilih.

"Pasaran juga menunggu kenyataan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bagi mendapatkan petunjuk serta maklumat mengenai pengurangan kadar faedah utama negara maju itu," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Menurutnya, kalangan peniaga akan turut menumpukan sektor minyak dan gas berikutan aliran kenaikan minyak mentah Brent yang melepasi paras US$87 setong.

Selain itu, firma pembrokeran berkenaan menjangkakan tumpuan saham melibatkan telekomunikasi, kewangan, hartanah, solar dan industri pembungkusan.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing turun empat sen kepada RM9.61 dan RM6.57; Public Bank berkurangan dua sen kepada RM4.26; Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM6.82 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM11.50.

Bagi saham aktif, Mlabs Systems dan E.A. Technique (M) masing-masing susut setengah sen kepada satu sen dan 31.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 12.17 mata kepada 11,506.38; Indeks FBMT 100 susut 15.24 mata kepada 11,163.03; Indeks FBM Emas Shariah sebaliknya naik 9.03 mata kepada 11,546.29; Indeks FBM ACE meningkat 12.21 mata kepada 4,763.30 dan Indeks FBM 70 menambah 28.10 mata kepada 15,778.47.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 57.50 mata kepada 17,223.88 dan Indeks Perladangan susut 3.25 mata kepada 7,275.51.

Indeks Tenaga pula naik 11.37 mata kepada 936.78 manakala Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.10 mata kepada 177.45.

-- BERNAMA